Senarai kandungan
Pengenalan
1 Kepentingan Pembangunan Sahsiah
2 Pendekatan-pendekatan Pembangunan Sahsiah
2.1 Pendekatan Psikoanalitik
2.2 Pendekatan Behaviorisme
2.2.1 Ivan Pavlov
2.2.2 Edward Thorndike
2.2.3 John Watson
2.2.4 B.F. Skinner
2.2.5 Albert Bandura
2.3 Pendekatan kognitif
2.4 Pendekatan Humanistik
3 Applikasi Nilai Bitara UPSI
3.1 Integriti
3.2 Profesional
3.3 Semangat berpasukan
3.4 Berorientasikan Pelanggan
3.5 Prihatin Kebajikan Anggota
3.6 Kreatif dan Inovatif
4 Etika Profesion Perguruan
Kesimpulan
Bibliografi
Tugasan 2 (20 markah)
Soalan tugasan 2:
Perubahan sahsiah adalah proses pertumbuhan diri kesan daripada interaksi dalaman (psikologi)dan input persekitaran luaran. Kursus Pembangunan Sahsiah telah dibina khusus sebagai input perubahan karektor seorang pendidik yang professional dan berkesan.
i Merujuk kepada kursus Pembangunan Sahsiah, jelaskan empat (4) perkara utama
yang cuba diterapkan kepada guru-guru.
Pengenalan
Merujuk kepada Kursus Pembangunan Sahsiah, empat perkara utama yang cuba diterapkan kepada guru-guru ialah kepentingan pembangunan sahsiah, pendekatan-pendekatan pembangunan sahsiah, applikasi nilai bitara UPSI dan etika profesion perguruan.
1 Kepentingan Pembangunan Sahsiah
Pembangunan sahsiah merupakan satu proses pertumbuhan kendiri. Ia merupakan salah satu perkara yang utama ingin diterapkan melalui kursus Pembangunan Sahsiah kerana ia dapat membantu seseorang individu untuk membuat perubahan yang adaptif bagi mencapai kepuasan dalam kehidupan. Ia merupakan satu elemen yang penting dalam pencegahan masalah gejala sosial pada masa kini. Ia dapat melahirkan individu yang berkualiti dan berwawasan.
Oleh kerana para remeja atau pelajar khususnya mahasiswa-mahasiswa di universiti merupakan aset yang amat penting bagi kecemerlangan negara pada masa akan datang, maka mereka perlu mempunyai keupayaan untuk mengimbangi pembangunan sahsiah yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran agama dan nilai-nilai budaya dalam masyarakat dengan pembangunan intelektual merupakan kejayaan kepada masyarakat dan negara. (Abd Jalil Bin Borham,1998:1) Pembangunan sahsiah penting dalam membina satu generasi pelapis yang bakal memimpin negara di masa akan datang.
Kepimpinan merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan manusia dan apabila seseorang itu berjaya memimpin dirinya dan orang lain ke arah kecemerlangan, maka ia merupakan satu kejayaan yang besar. Kebolehan ini perlu disokong dengan sahsiah seseorang individu yang positif.
2 Pendekatan-pendekatan Pembangunan Sahsiah
Terdapat beberapa pendekatan yang dibincang dalam kursus Pembangunan Sahsiah iaitu pendekatan psikoanalitik, pendekatan pembelajaran (Behaviorsme), pendekatan kognitif dan pendekatan humanistik. Ini juga merupakan perkara utama yang ingin diterapkan kepada guru melalui kursus Pembangunan Sahsiah sebab sebagai guru, kita seharusnya mengetahui serba sedikit tentang pendekatan-pendekatan yang ingin diterap supaya boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian.
2.1 Pendekatan Psikoanalitik
Pendekatan Psikoanalitik dipelopori oleh Sigmund Freud (1856-1939), seorang doktor perubatan di Vienna, Austria. Ia mengatakan bahawa pengalaman zaman awal individu memberi kesan sepanjang hayat pada keadaan psikologi individu dan sebahagian besar tingkah laku berpunca daripada proses-proses tak sedar. Proses-proses ini merujuk kepada pemikiran, kebimbangan serta harapan yang tidak disedari seseorang.
Dalam teori struktur personaliti, Sigmund Freud mengatakan struktur psikik dibahagikan kepada 3 sistem utama iaitu id, ego dan superego. Id merupakan sumber dorongan dan nafsu yang diwarisi mementing diri sendiri dan tidak ada pengaruh kepada dunia realiti. Ego mendorong id supaya mengikut kehendak moral. Superego berfungsi sebagai penghantar maklumat nilai moral yang berkembang daripada didikan agama kepada ego yang mengawal id.
Menurut pendekatan Psikoanalistik ini, jika id dan superego cukup kuat untuk menguasai ego, biasanya konflik dalaman akan berlaku dalam diri individu seseorang itu. Teori Sigmund Freud menyarankan jika konflik antara id, ego dan superego tidak diselesaikan, maka ia akan membawa kepada kecelaruan mental.
2.2 Pendekatan Behaviorisme
Pendekatan Behaviorisme mempercayai bahawa tingkah laku boleh dipelajari dan ia merupakan hasil pembelajaran terhadap pengalaman kehidupan seharian kita. Menurut pendekatan ini, tingkah laku ialah satu siri gerak balas yang berlaku dengan wujudnya rangsangan. Antara tokoh-tokoh yang mengemukakan pendekatan pembelajaan ialah Ivan Pavlov (1849-1936), Edward Thorndike (1874-1949), John Watson (1878-1958), B.F. Skinner (1904-1990) dan Albert Bandura (1925- ). Tokoh-tokoh ini berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku.
2.2.1 Ivan Pavlov
Pendekatan pembelajaran Ivan Pavlov menerangkan bahawa dengan adanya rangsangan, maka timbullah gerak balas tingkah laku. Pembelajaran boleh berlaku akibat kaitan di antara rangsangan dengan gerak balas. Kajian Pavlov juga menghasilkan konsep penguasaan, generalisasi, diskriminasi dan penghapusan.
2.2.2 Edward Thorndike
Pendekatan pembelajaran Edward Thorndike mengatakan bahawa pembelajaran merupakan suatu rangkaian yang terikat iaitu pembentukan dan pengukuhan rangkaian saraf di antara situasi dengan gerak balas. Beliau berpendapat sesuatu tingkah laku ditunjukkan atau tidak bergantung kepada kesan daripada perbuatan yang dilakukan itu, iaitu sama ada menerima kesan positif atau negatif.
2.2.3 John Watson
Pendekatan pembelajaran John Watson menyatakan setiap tingkah laku dipelajari melalui hasil gerak balas terhadap rangsangan. Beliau sangat terpengaruh dengan hasil kerja Pavlov dan menerima pelaziman klasik sebagai cara penting pembelajaran berlaku. Oleh kerana beliau mengutamakan tingkah laku yang boleh diperhatikan, beliau mengaitkan segala tingkah laku dengan pergerakan.
2.2.4 B.F. Skinner
Pendekatan pembelajarn B.F.Skinner melanjutkan usaha Thorndike dalam kajian tentang pelaziman. Dari kajian, beliau mendapati bahawa satu gerak balas hanya akan berulang dengan adanya ganjaran. Skinner menjelaskan bahawa suatu peneguhan boleh bersifat negatif atau positif.
2.2.5 Albert Bandura
Pendekatn pembelajaran Albert Bandura berpendapat bahawa proses pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan menggunakan pendekatan “permodelan”. Beliau menjelaskan lagi bahawa aspek pemerhatian pelajar terhadap apa yang disampaikan atau dilakukan oleh guru dan juga aspek penerimaan oleh pelajar akan dapat memberikan kesan yang optimum kepada kefahaman pelajar.
2.3 Pendekatan kognitif
Pendekatan kognitif merupakan pendekatan yang memberi perhatian terutamanya proses pemikiran individu secara kritis dan kreatif, kemahiran belajar dan motivasi yang dipelopori oleh ahli psikologi. Menurut ahli psikologi, proses pembelajaran boleh membentuk struktur kognatif dalam ingatannya. Mereka juga berpendapat bahawa manusia mempunyai keupayaan mental untuk menyimpan pengalaman yang boleh menghubungkaitkan dengan masalah yang dihadapi. Ee Ah Meng (1996) juga mengatakan bahawa pendekatan kognitif menekankan pada proses-proses mental dalaman. Ia boleh diibaratkan sebgai suatu komputer moden.
2.4 Pendekatan Humanistik
Pendekatan humanistik memberi tumpuan kepada apa yang berlaku dalam diri seorang individu seperti perasaan atau emosinya (Ee Ah Ming:1996). Ia menyatakan bahawa individu terdorong bertindak melakukan sesuatu kerana mempunyai satu kemahuan atau keperluandan tanggungjawab di atas segala tindakannya. Menurut Kamarudin Hj. Husin, pendekatan humanistik lebih menekankan ciri-ciri kemanusiaan. Setiap individu adalah berbeza dan merupakan kejadian yang unik.
Menurut pendekatan ini, kuasa motivasi seseorang individu adalah kecenderungannya untuk berkembang dan mencapai hasrat diri. Ini bermakna setiap individu mempunyai keperluan dan hasrat untuk mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Jika seseorang individu itu menghadapi halangan, kecenderungan semulajadi adalah untuk mencapai hasrat diri atau mengembangkan potensi ke tahap yang maksimum.
3 Applikasi Nilai Bitara UPSI
Saya rasa perkara yang paling utama ingin diterapkan kepada guru melalui kursus Pembangunan Sahsiah ini ialah Nilai Bitara UPSI. Terdapat 6 nilai bitara UPSI iaitu integriti, profesional, semangat berpasukan, berorientasikan pelanggan, prihatin kebajikan anggota dan bersikap kreatif dan inovatif. Bitara bermaksud unik, unggul, lain dari yang lain dan tiada tolok bandingannya.
3.1 Integriti
Nilai integriti merupakan kualiti yang dimiliki secara tetap untuk mencapai prinsip moral yang tinggi. Terdapat 4 petunjuk dalam niali ini iaitu adil, amanah, telus dan akauntabiliti. Di bawah nilai ini, seseorang guru mesti mengajar dengan jujur, tidak mencuri tulang, menyampaikan fakta yang benar, memberi markah secara telus dan mengajar mengikut sukatan pelajaran.
3.2 Profesional
Nilai profesional menujukkan bahawa seseorang guru itu adalah mahir dan cekap melatih diri untuk mencapai tahap kompetensi yang dikehendaki. Terdapat juga 4 petunjuk dalam nilai ini iaitu beretika, iltizam, cinta ilmu dan kompeten. Di bawah niali ini, seseorang guru perlu bermoral dan mengutamakan kepentingan sekolah, komited terhadap tugas, suka belajar dan menimba ilmu serta dapat menyiapkan tugasan berkualiti mengikut masa yang ditetapkan.
3.3 Semangat berpasukan
Nilai semangat berpasukan membawa maksud bekerja dalam satu pasukan. Ia mempunyai 4 petunjuk juga, iaitu muafakat, fokus, matlamat, hormat-menghormati dan bangga UPSI. Di bawah nilai ini, seseorang guru perlu berupaya menyelesaikan masalah secara bersama, menetapkan matlamat dan bekerjasama mencapainya, menanam sikap saling menghormati dan berasa suka menjadi pelajar UPSI.
3.4 Berorientasikan Pelanggan
Nilai berorientasikan pelanggan menganggap diri sebagai aset yang bernilai. Perkhidmatan yang diberi berorientasikan pelanggan. Empat petunjuknya ialah responsif, proaktif, mesra dan berkualiti. Ini bermaksud seseorang guru mesti bertindak secara cepat, berjaga-jaga, mempunyai strategi atau perancangan yang sistematik, bersikap ramah mesra dan melakukan kerja yang dapat memuaskan “pelanggan”.
3.5 Prihatin Kebajikan Anggota
Prihatin kebajikan anggota boleh menimbulkan perasaan diambil berat dan pentingnya kewujudan seseorang individu tersebut. Empat petunjuknya ialah peluang untuk maju, empati, penghargaan dan keselesaan persekitaran. Kita haruslah mengambil berat tentang anggota di sekeliling kita, menunjukkan empati terhadap orang yang berada dalam masalah, menghargai setiap insan dan mewujudkan suasana yang selesa untuk memberangsangkan kita melakukan tugas atau pekerjaan.
3.6 Kreatif dan Inovatif
Kreatif bermaksud kebolehan seseorang individu menghasilkan sesuatu idea baru. Empat petunjuk nilai kreatif dan inovatif ialah berdaya cipta, penambahbaikan, berterusan, rebut peluang dan tambah nilai. Seseorang yang kreatif mempunyai daya cipta yang tinggi. Kita juga perlu melakukan penambahbaikan secara berterusan, merebut peluang untuk menimba dan menyebar ilmu. Petunjuk nilai tambahbaik pula merujuk kepada menggunakan kemudahan media dan teknologi untuk menyebarkan ilmu baru.
4 Etika Profesion Perguruan
Menurut Ee Ah Ming (1998), etika profesion perguruan disediakan bagi menjaga nama baik profesion perguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion. Ia merupakan satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat, negara, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar.
Kod Etika Perguruan menyatakan tanggungjawab guru. Guru perlu mengetahui akan segala bidang dan tanggungjawab yang dipikul oleh semua guru. Bidang tugas guru amat meluas dan merangkumi berbagai-bagai aspek yang bukan sahaja berbentuk pengajar, maka kaum guru juga terlibat dalam pengurusan disiplin, bimbingan, kaunseling dan sebagainya.
Maka kod Etika Perguruan juga merupakan satu perkara yang utama dan perlu diketahui oleh para guru. Ia perlu dijadikan garis panduan kepada para guru semasa menjalani tugas seharian.
Kita sebagai guru mesti sentiasa mengingati dan menghayati kod Etika Perguruan agar tugas kita dapat dijalani dengan lancar.
Kesimpulan
Melalui empat perkara utama yang ingin diterapkan kepada guru ini, amatlah diaharapkan bahawa guru benar-benar dapat menyedarinya supaya dapat membentuk sahsiah yang unggul. Lantaran itu, profesion perguruan dapat dipertingkatkan demi menghasilkan pelajar yang diperlukan oleh masyarakat dan negara.
ii Huraikan dengan memberi contoh yang jelas bagaimana kursus pembangunan
sahsiah memberi kesan kepada perubahn karektor diri anda.
Kursus Pembangunan Sahsiah telah mendedahkan saya kepada subjek psikologi pendidikan . Prof Dr. Khadijah Rohani Mohd Yunus menyatakan bahawa psikologi pendidik ini perlu dibekalkan kepada guru sebab tugasnya bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga adalah untuk melahirkan seorang manusia yang kamil dan baik budi pekertinya serta bertanggungjawab kepada keluarga, bangsa dan agama. Ini membawa pemahaman kepada saya bahawa psikologi pendidikan adalah penting untuk pembangunan sahsiah guru supaya boleh menolong guru mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih lancar.
Kursus Pembangunan Sahsiah telah memberi kesan daripada interaksi dalam dan input persekitaran luaran. Setelah mempelajari kursus Pembangunan Sahsiah dan membuat banyak rujukan ke atas ilmu yang berkaitan dengan Pembangunan Sahsiah, saya mengalami perubahan karetor diri dari segi corak pemikiran, berkomunikasi, tingkah laku dan teknik pengajaran dan pembelajaran.
Setelah didedahkan dengan Kursus Pembangunan Sahsiah, saya mulai faham bahawa keinginan untuk mencapai prestasi yang baik merupakan suatu perkara yang perlu dibangunkan dalam diri sendiri. Individu yang sedar akan hal ini akan cuba memperbaiki sedaya upaya supaya menjadikan diri mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Ini boleh merangsang seseorang individu untuk berdikari dan menjadi lebih berdisplin.
Apabila saya diterima sebagai pelajar di UPSI, barulah saya mengenali UPSI adalah warisan daripada Sultan Idris Training College (SITC). Setelah mengetahui serba sedikit mengenai sejarah UPSI , saya berasa berkeyakinan untuk menimba ilmu di UPSI dan mempercayai bahawa pengajian di sini akan membawa kecemerlangan dalam kerjaya dan hidup diri saya.
Pembangunan Sahsiah ini perlu bagi saya kerana ia merupakan satu wadah pengisian dalam kehidupan seharian. Semasa saya bertutur dan berkomunikasi dengan murid, saya menggunakan nada suara biasa. Jika murid masih tidak faham atau tidak tahu cara membuat latihan, saya akan mengulangi pengajaran saya dengan penuh kesabaran.
Menurut Rohaty Mohd. Majzub (1992), setiap individu mempunyai struktur emosi yang menjadi sebahagian daripada personalitinya. Emosi boleh merepakan positif melibatkan daya penarik terhadap sesuatu objek. Saya amat tertarik oleh pendekatan ini. Saya akan selalu mengingati kenyataan ini dan mengaplikasikannya dalam pengajaran seharian saya.
Dari segi kelakuan, sebelum ini saya beranggapan bahawa guru hanya perlu mengarah murid untuk membuat kerja tanpa melakukannya sendiri sebab murid sudah tahu macam mana nak melakukannya. Contohnya: dalam kerja mengutip sampah, menyapu dan mengelap tingkap, saya beraksi dengan menyuruh murid saja melakukannya. Tetapi selepas mempelajari teori pembelajaran, saya menjadi contoh kepada murid.
Semasa bergotong-royong, saya turut mengutip sampah, menyapu lantai dan mengelap tingkap. Saya bertingkah laku sebegitu dengan harapan dapat menjadi model dan teladan baik untuk dipelajari murid. Menurut Bong Pong Ying dan Ragbir Kaur (1998), seorang dewasa melakukan sesuatu tugasan sambil memberi arahan secara lisan, dia akan menjadi contoh atau model kepada kanak-kanak. Murid kemudian akan membuat tugasan yang sama dengan bimbingan orang dewasa. Saya mendapati bahawa cara ini lebih berkesan dan efektif.
Dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran pula, sikap saya mengajar adalah mirip robot. Pendekatan yang digunakan adalah sama setiap hari. Walaupun mengikut sukatan dan perancangan, tetapi caranya membosankan. Selepas mempelajari Kursus Pembangunan Sahsiah, saya sedar bahawa sikap sebegini jauh boleh digelar sebagai profesion.
Perguruan merupakan satu kerjaya profesion seperti jurutera dan doktor.Hujah ini memberi tamparan kepada saya dan telah memotivasikan sahsiah saya. Saya telah mempelbagaikan cara pengajaran saya. Saya menggunakan komputer semasa mengajar. Saya mendapati murid-murid amat tertarik dengan cara ini dan hasil kerja mereka jauh lebih baik dari biasa.
Sharifah Almiah Alsogoff (1984) mengatakan bahawa keadaan di bilik darjah tidak banyak daya penarik atau rangsangan untuk belajar. Kegunaan alat pandang-dengar dapat mewujudkan rangsangan ini. Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut setelah mencuba menggunakan komputer untuk mengajar di kelas.
Norhashim Abu Samah juga menyatakan bahawa penggunaan komputer dalam apa jua bidang pekerjaaan dewasa ini sudah menjadi suatu kemestian. Jadi, saya tidak mahu ketinggalan zaman dan perlu menggunakan komputer untuk membantu saya meningkatkan taraf profesion perguruan.
Saya berharap dan dapat menjaga kewibwaan profesion perguruan. Keberkesanan dalam profesion perguruan berkait rapat dengan keupayaan dan usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tugas. Saya memahami bahawa profesion perguruan adalah golongan yang memikul tanggungjawab kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan negara.
Jadi, pembangunan sahsiah guru adalah penting sebagai usaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu dan berkebolehan.
Bibliografi
Abdul Jalil Borhan (1998). Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Dan Perlaksanaannya
IPT Di Malaysia. Kertas kerja yang dibentankan di Seminar Pengurusan Asrama
Peringkat Kebangsaan. Johor: Universiti Teknologi Malaysia
Bong Pong Ying , Ragbir Kaur (1998). Siri Bimbingan Diploma Peeguruan Psikologi I
(Semester I). Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng (1996). Psikologi Pendidikan I Psikologi Perkembangan. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng (1998). Pendidikan di Malaysia II. Kuala Lumpur: Penebit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Kamarudin Hj. Husin (1997). Psikologi Bilik Darjah Asas Pedagogi. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose Alinda Alias (1996). Pengajaran Bantuan
Komputer. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa Dan Pustaka
Prof Dr Khadijah, Rohani Mohd Yunus, Mohani Razali, Ramlah Jantan (2006). HBEF
2103 Psokologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Rohaty Mohd. Majzub (1992). Psikologi Perkembangan Untuk Bakal Guru. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Sharifah Alwiah Alsogoff (1984). Teknologi Pengajaran . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
Dan Pustaka , Kementerian Pelajaran Malaysia.