2013年3月2日星期六

Kenegaraan


Senarai Kandungan

Pengenalan
Isi-isi penting:
Kelemahan Sultan Mahmud Syah memilih Bendahara
Siltan Mahmud Syah  tidak mengambil berat tentang permusuhan yang berlaku
Sultan Mahmud Syah tidak cukup berwaspada terhadap musuh
Sultan Mahmud Syah tidak memerhati pihak Portugis dengan teliti
Sultan Mahmud mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang lain
Kelemahan Sultan Mahmud Syah kerana tidak ada daya kepimpinan
Sultan Mahmud Syah tiada strategi dalam peperangan
Sultan Mahmud Syah tidak mendapat sokongan dari pihak Cina dan India
Kelemahan angkatan tentera Sultan Mahmud Syah
Bersemangat tetapi tidak berkeupayaan
Taktik yang lemah
Terpaksa berundur kerana tidak dapat bertahan
Kesimpulan
Bibliografi




Tugasan 1
Soalan 3 :
Sejauh manakah kelemahan Sultan Mahmud Syah telah memberi ruang terhadap penjajahan Portugis di Melaka?

Pengenalan
            Pada abad ke-15, Melaka telah muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal. Empayar Melaka berada di puncak keagungan dan kegemilangan. Pelabuhan Melaka telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari Barat dan Timur. Perkembangan Melaka adalah disebabkan oleh kedudukannya yang strategik serta pentadbirannya yang cekap.
            Kedudukan Melaka yang terletak di antara Timur dan Barat memudahkan saudagar-saudagar dari Timur dan Barat singgah di situ kerana ia terlindung daripada tiupan angin monsun. Selain itu, Melaka mempunyai laut yang dalam dan bentuk muka bumi yang sesuai sebagai kawasan pertahanan. Bukit-bukau di sekelilingnya menjadi panduan untuk kapal belayar keluar dan masuk.
Hasil selat di kawasan yang berhampiran dengan Melaka juga menjadi daya tarikan kepada saudagar asing. Saudagar Cina datang untuk menjual kain sutera, teh, tembikar dan mereka ingin membeli rempah tempatan. Saudagar India pula datang menjual bahan makanan, beras, kayu jati dan mereka datang untuk membeli rempah juga.
            Sistem pentadbiran di Melaka pada masa itu amat cekap dan teratur. Melaka mengamalkan sistem Pembesar Empat Lipatan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan berdaulat. Sultan dibantu oleh Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas dan Pembesar tiga Puluh Dua. Setiap pembesar mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Isi-isi penting:
Kelemahan Sultan Mahmud Syah memilih Bendahara
Namun, keagungan dan kegemilangan empayar Melaka merosot selepas kematian Bendahara Tun Perak. Bedahara merupakan pembesar yang terpenting dalam Majlis Tertinggi. Jawatan tersebut diganti oleh Tun Putih yang sudah tua. Beliau tidak berupaya mentadbir Melaka.
Hal ini memperlihatkan kelemahan Sultan Mahmud Syah dalam pemilihan calon Bendahara kerana tidak berpandangan jauh. Kemudian, jawatan Tun Putih dipegang oleh Tun Mutahir. Tun Mutahir merupakan bapa saudara Sultan Mahmud Syah.
Sultan Mahmud Syah merupakan Sultan Melaka yang ke-8. Baginda merupakan seorang sultan yang lemah, tidak cekap dan tidak mengutamakan pentadbiran negeri. Baginda melantik Tun Mutahir kerana Tun Mutahir adalah seorang yang kaya, berpengaruh dan mempunyai banyak pengikut.
Bendahara Tun Mutahir merupakan seorang yang bersikap pilih kasih. Beliau memilih saudara-maranya untuk memegang jawatan pegawai di istana. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati antara pembesar-pembesar lain. Dengan ini, timbullah ketidakstabilan pentadbiran di Melaka.
Selain daripada Tun Mutahir, Melaka pada masa itu tidak ada pahlawan-pahlawan yang hebat dan handal seperti Hang Tuah, hang Jebat dan Hang Kasturi. Melaka pada masa itu juga tidak ada Temenggung dan Laksamana yang berkaliber. Walaupun  sistem Pembesar Empat  Lipatan masih dilaksanakan tetapi pembesar-pembesar tersebut tidak menjalankan tugas  dengan iklas.




Siltan Mahmud Syah  tidak mengambil berat tentang permusuhan yang berlaku
            Keadaan Melaka menjadi huru-hara dengan tercetusnya pertikaian antara kaum  Melayu-Islam dan kaum Tamil-Islam. Walaupun Melaka adalah pusat penyebaran agama Islam pada masa itu, tetapi mereka tidak mempunyai pegangan agama yang teguh.
Tun Mutahir mempunyai banyak musuh dalam kerajaan Melaka. Semangat kerjasama tidak wujud dalam pegawai-pegawai kerajaan kerana masing-masing hanya mengambil berat tentang kepentingan diri sendiri. Sultan Mahmud Syah juga tidak campur tangan atas konflik yang berlaku antara Laksamana Khoja Hassan dengan Tun Mutahir.
            Sultan Mahmud juga tidak prihatin tentang tugas Penghulu Bendahari dan Syahbandar. Saudagar asing yang ingin berdagang di Melaka mesti menghulurkan hadiah kepada pembesar-pembesar tertentu. Dengan ini, sesebahagian pedagang telah beralih ke Acheh untuk berdagang.

Sultan Mahmud Syah tidak cukup berwaspada terhadap musuh
            Pada tahun 1509, sebuah angkatan laut Portugis yang digelar “Benggali Putih” mula berlabuh di Melaka. Angkatan tersebut diketuai oleh Lopez de Sequeira. Raja Portugal menghantar angkatan tersebut ke Melaka dengan tujuan ingin menjalin hubungan persahabatan antara kerajaan Portugal dan kerajaan Melaka.
Lopez de Sequeira menghadap Sultan Melaka dan disambut manis oleh Sultan Mahmud Syah. Sebenarnya, kedatangan Portugis mempunyai niat di sebalik batu. Mereka tahu bahawa Melaka merupakan sebuah pusat perdagangan yang terkaya di dunia.
Berbekalkan slogan “Gospel, Gold and Glory”, pihak Portugis berhasrat untuk menyebarkan ajaran Kristian. Mereka juga tamatkan kekayaan menerusi perdagangan rempah seperti lada hitam, kayu manis, buah cengkih dan buah pala. Kerajaan Portugis juga iri hati terhadap keamanan dan kemakmuran Melaka.
Sultan Mahmud Syah tidak memerhati pihak Portugis dengan teliti
            Tanpa menyedari niat Lopez de Sequeira, Sultan Mahmud Syah membenarkan pihak Portugis berniaga di Melaka. Bagaimanapun, hasrat Portugis diketahui oleh pedagang Islam dari Jawa dan Gujerat. Mereka memaklumkan muslihat pihak Portugis kepada Bendahara Tun Mutahir. Tun Mutahir segera memberitahu hal itu kepada Sultan Mahmud Syah. Sultan Mahmud mendengar nasihat Tun Mutahir lalu menangkap orang Portugis termasuk pegawai kanan mereka, Ruy de Araujo.
Setelah Ruy de Araujo ditangkap, beberapa anak kapal juga ditangkap dan dibunuh oleh tentera Melaka. Lopez de Sequeira menyedari tembelang mereka sudah pecah, maka mereka melarikan diri ke pangkalan mereka di Goa, India.

Sultan Mahmud mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang lain
            Semasa pedagang asing berdagang di Melaka, Tun Mutahir pernah menaikkan kadar cukai ke atas barangan luar negeri. Ini menyebabkan pembesar-pembesar Melaka memfitnah Tun Mutahir bahwa Tun Mutahir cuba mengatasi kekayaan Sultan Mahmud. Hasutan ini menimbulkan kemurkaan Sultan Mahmud Syah.
            Situasi bertambah buruk lagi apabila Tun Mutahir mengahwini puterinya Tun Fatimah kepad Tun Ali sedangkan Sultan Mahmud juga ingin mengahwini Tun Fatimah. Pada masa yang sama , pembesar-pembesar Melaka memberitahu Sultan Mahmud Syah bahawa Tun Mutahir membuat pakatan untuk merampas kuasa Sultan.
            Tanpa usul periksa, Sultan Mahmud Syah mengarah untuk menangkap Tun Mutahir dan menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau dan keluarganya. Tindakan Sultan Mahmud Syah ini jelas mempertayangkan kelemahannya sebab baginda mudah mempercayai kata-kata orang lain. Baginda juga tidak mendapat bukti sebelum bertindak meluru untuk membunuh Tun Mutahir.

Kelemahan Sultan Mahmud Syah kerana tidak ada daya kepimpinan
            Selepas Tun Mutahir mati, Sultan Mahmud Syah mengahwini Tun Fatimah. Ini menujukkan sifat Sultan Mahmud Syah yang zalim dan mementingkan keseronokkan diri sendiri. Baginda tidak menjadi model baik kepada rakyatnya. Pentadbiran di Melaka menjadi kucar-kacir selepas kematian Tun Mutahir. Kewibawaan Sultan Mahmud Syah dipersoalkan.
            Pengganti Tun Mutahir ialah Tun Pepatih Putih, seorang yang uzur lagi. Ketiadaan pemimpin yang berwibawa menyebabkan pentadbiran Melaka semakin lemah. Pembesar-pembesar Melaka menjalankan tugas dengan sewenang-wenangnya. Sultan Mahmud tidak dapat mengawal tindak-tanduk pembesar-pembesar. Ini menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti rasuah.
            Perpecahan berlaku di kalagan pembesar-pembesar dan wujudnya puak tua dengan puak muda. Pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah menyerahkan pentadbiran Melaka kepada puteranya iaitu Sultan Ahmad Syah yang masih muda dan tidak berpengalaman. Ini menujukkan sifat Sultan Mahmud Syah yang tidak berani memikul tanggungjawab sendiri.

Sultan Mahmud Syah tiada strategi dalam peperangan
            Keadaan Melaka yang kucar-kacir diketahui oleh Raja Portugal. Satu angkatan laut diketuai oleh Alfonso de Albuquerque datang untuk menyerang kerajaan Maleka. Raja Portugal juga menghantar sepasukan tentera laut yang diketuai oleh Diego Mendez. Kedua-dua angkatan ini disatukan oleh Alfonso de Albuquerque menjadi satu angkatan perang yang besar di mana ia mempunyai 18 buah kapal dan 1400 orang askar.



Sesampai di Melaka, Alfonso de Albuquerque menghantar 3 tuntutan, iaitu:
i-                    Membebaskan tawaran askar Portugis.
ii-                  Membayar ganti rugi kepada pihak Portugis
iii-                Meminta pemerintah Melaka membenarkan Portugis membina sebuah kubu Portugis di Melaka.
Sultan Mahmud menolak semua tuntutan Portugis. Tentera Portugis membakar kapal saudagar Islam dan beberapa rumah di pinggir pantai. Ini mendesak Sultan Mahmud membebaskan tawanan Portugis tetapi tentera Portugis masih menyerang Melaka. Pada masa yang sama, Ruy de Araujo yang berada dalam tahanan telah menyeludupkan surat kepada Alfonso de Albuquerque. Dalam surat itu, Araujo menerangkan tentang kekuatan Melaka dan strategi-strategi untuk menyerang Melaka.

Sultan Mahmud Syah tidak mendapat sokongan dari pihak Cina dan India
            Walaupun sudah sekian lama orang Cina dan India berdagang di Melaka, tetapi mereka tidak menolong Sultan Mahmud Syah apabila baginda berada dalam kesusahan. Ini menujukkan bahawa kelemahan Sultan Mahmud Syah yang tidak berjaya menawan hati pedagang Cina dan India. Semasa angkatan Portugis sampai di Melaka, saudagar Cina menyediakan beberapa buah tongkang untuk memudahkan tentera Portugis mendarat. Manakala saudagar India pula memberi maklumat tentang pertahanan Melaka kepada orang Portugis.
            Pada 25 Julai 1511, Portugis memulakan serangan pertama ke atas Melaka. Portugis menyerang dan menguasai jambatan Sungai Melaka. Pahlawan tempatan segera bangkit dan menentang secara besar-besaran. Mereka berjaya menawan semula jambatan tersebut. Walau bagaimanapun, ini cuma merupakan kemenangan sementara.


Kelemahan angkatan tentera Sultan Mahmud Syah
            Pada 10 Ogos 1511, Alfonso de Albuquerque membuat serangan kedua. Kali ini, mereka menggunakan senjata yang lebih moden seperti meriam, senapang dan lain-lain. Angkatan Melaka cuma terdiri daripada askar upahan Jawa, gajah, senjata tradisional seperti tombak, keris, panah, perisai, pemuras lela dan lain-lain. Walaupun bilangan askar tentera Portugis lebih kurang, tetapi mereka adalah terlatih dan menerima sokongan dari pangkalan tentera Portugis di Goa.
            Tentera upahan bangsa Jawa melarikan diri semasa serangan Portugis sebab mereka tidak sanggup menggadai nyawa untuk Melaka kerana Melaka bukan negeri asal mereka. Akhirnya, pada 24 Ogos 1511, tentera Portugis berjaya menguasai Melaka selepas serangan selama hampir 2 minggu. Angkatan tentera yang diketuai oleh Sultan Mahmud Syah dan Sultan Ahmad terpaksa mengundur diri ke Muar.

Bersemangat tetapi tidak berkeupayaan
            Sultan Mahmud Syah tidak putus asa, baginda masih menguasai wilayah di Semenanjung Tanah Melayu dan pantai timur Sumatera. Sultan Mahmud masih berjuang untuk merampas balik Melaka. Baginda berkubu di Pagoh, tepi sungai Muar. Walaupun begitu, tiada angkatan dari wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera yang datang menghulurkan bantuan kepada Sultan Mahmud Syah. Malah mereka mengambil kesempatan ini untuk membebaskan diri dari jajahan Melaka.

Taktik yang lemah
            Sultan Mahmud Syah cuba melemahkan kedudukan Portugis dengan menyekat bekalan makanan sampai di Melaka tetapi usaha baginda tetap gagal. Portugis memperolehi bekalan makanan daripada India.

Terpaksa berundur kerana tidak dapat bertahan
Sultan Mahmud berundur ke Bentayan, Muar. Baginda mendirikan kubu pertahanan di sana. Seterusnya, baginda dan pengikutnya bersemayam sementara di Pahang sebelum bergerak ke Pulau Bintan.
Pada tahun 1513, Sultan Mahmud  Syah membina semula kekuatan kerajaan baginda di Bintan dan membuat lima serangan bagi menawan semula Melaka. Tetapi percubaan Sultan Mahmud Syah gagal. Kedudukan Portugis di Melaka semakin kuat dengan terbinanya kota A Famosa.
Pada tahun 1526, setelah tentera Portugis mengetahui jejak Sultan Mahmud, tentera Portugis pun menyerang dan memusnahkan kubu Sultan Mahmud Syah di Bintan. Sultan Mahmud Syah terpaksa meninggalkan Bintan dan berundur ke Kampar. Pada tahun 1528, Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar.

Kesimpulan
            Pelbagai aspek telah mempelihatkan kelemahan Sultan Mahmud sehingga membawa penjajahan Portugis di Melaka. Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud bukannya ingin melihat Malaka merosot dengan begitu sahaja. Ini boleh dibuktikan dengan usahanya ingin merampas kembali Melaka setelah diduduki oleh Portugis tetapi malangnya baginda tidak mampu berbuat demikian.
            Sultan Mahmud Syah boleh dikatakan seorang yang agresif. Baginda juga bersifat zalim kerana membunuh Sultan Ahmad Syah. Sultan dihukum bunuh kerana gagal menjalankan tugas untuk menawan semula Melaka dari Portugis.Walaupun baginda menyesal ke atas tindakan baginda, tetapi tidak dapat mengembalikan hakikat yang telah berlaku. Ini menyebabkan baginda kehilangan pembantu yang berkaliber serta boleh menjadi rakan seperjuangan baginda.


            Walaupun kelemahan Sultan Mahmud membawa penjajahan Portugis tetapi tidak adil hanya Sultan Mahmud Syah sahaja yang dipersalahkan sebab tidak boleh dinafikan juga kekuatan tentera Portugis juga menyumbang ke atas kejayaan pendudukan Portugis di Melaka.
            Dengan kemangkatan Sultan Mahmud Syah, maka berakhirlah zaman keagungan kesultanan Melayu yang diasaskan oleh Parameswara sejak lebih dari satu kurun. Melaka telah dijajah oleh Portugis selama 130 tahun.
 Bertitik tolak dari kejatuhan Melaka, Melaka ditakluki oleh kuasa-kuasa asing seperti Belanda, British dan Jepun. Orang Melayu terus berjuang dengan keringat, darah dan air mata untuk merebut kembali kedaulatan tanahair sendiri sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.













Bibliografi

 Malaysia Kita, (2000). PJ.Sasbadi Sdn. Bhd.
Yew Chee Wai.,Mary Tan Swee Ee., Ros Maria Chin. (2006). Ulangkaji Total terkini Sejaraj, Kuala Lumpur. Herald Printers Sdn. Bhd.
           

没有评论:

发表评论