2013年3月2日星期六

Kenegaraan

Tugasan 2
Soalan 2: Sejuah manakah anda berpendapat bahawa penjajahan British telah                     memberikan kesan yang cukup mendalam di negara ini.

Pengenalan

            Penjajahan British telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di negara ini. Ini boleh ditinjau dari sudut politik, ekonomi, sosial, kewujudan masyarakat majmuk dan penentangan yang dilakukan oleh masyarakat negara ini. Pihak British telah menjajahi negara kita selama 130 tahun. Dalam masa lebih dari satu abad ini, ia sudah pasti telah membawa banyak perubahan di negara ini.
            Seperti kuasa-kuasa barat yang lain, pihak British datang ke Tanah Melayu adalah untuk menyertai perlumbaan dalam monopoli perdagangan di Tanah Melayu dan seterusnya meluaskan kuasa mereka di Negeri-negeri Melayu. Namun kehadiran British membawa kesan yang paling mendalam sebab kebangkitan semangat nasionalisme di kalangan penduduk-penduduk setempat.
            Sejak dari tahun 1660, British telah cuba menguasai pergadangan di selat Melaka melalui penubuhan Kompeni Hindia Timur Inggeris. Kompeni Hidia Timur Inggeris mulai membeli bijih timah di Kedah, Johor dan kemudiannya Trengganu. Walau bagaimanapun, pihak British cuma berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di negara ini apabila kedudukan dan kekuatan Belanda di Melaka merosot.
            Pada tahun 1824, British nemperolehi Melaka hasil daripada Perjajian Inggeris- Belanda. Pihak Belanda bersetuju menyerahkan Melaka secara langsung kepada pihak British. Pihak British menyatukan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai negeri-negeri Selat pada tahun 1826. Dengan ini pun bermulalah penjajahan British di Tanah Melayu selama 130 tahun.

Kesan Politik
            Kesan yang paling mendalam akibat penguasaan Inggeris di Tanah Melayu ialah dari segi politik. Sebelum campur tangan pihak British, sultan Melayu mempunyai kuasa-kuasa mutlak atas pemerintahan negeri mereka. Kedatangan pihak British ke Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa-kuasa sultan tergugat.
            Penjajahan British di Tanah Melayu sebenarnya bertujuan untuk memenuhi keperluan permintaan bahan mentah bagi industri barat, mencari pasaran baru bagi barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburan di barat. Dengan ini, Pihak British menggunakan pelbagai taktik politik untuk menawan Tanah Melayu sedikit demi sedikit.
            Pada tahun 1867, British sebenarnya mengamalkan dasar tidak campur tangan tetapi sehingga tahun 1874, British mula mengamalkan dasar campur tangan di negeri-negeri Melayu menerusi Perjanjian Pangkor. Ini menjadikan sistem pentadbiran di Tanah Melayu banyak dipengaruhi oleh pihak British.
            Pihak British memperkenalkan corak pentadbiran baru iaitu Sistem Residen. Melalui Sistem Residen ini, seorang residen mula ditempatkan di negeri-negeri Melayu bawah jajahan British iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Keadaan ini telah menghadkan kuasa-kuasa sultan di mana sultan hanya berkuasa ke atas hal-hal mengenai adat istiadat Melayu dan hal-hal keagamaan sahaja.
            Walaupun dikatakan bahawa residen tersebut hanya bertujuan untuk memberi nasihat dalam sistem pentadbiran tetapi sebenarnya kuasa pentadbiran secara tidak langsung adalah berada di atas tangan mereka. Ini adalah disebabkan nasihat-nasihat yang diberi oleh residen mesti diikuti oleh sultan dan residen bertindak di atas nama sultan-sultan Melayu. Sistem Residen ini sebenarnya adalah satu bentuk pentadbiran pihak British yang dinamakan sebagai sistem pemerintahan tidak langsung di negeri-negeri Melayu.
            Dasar campur tangan pihak British telah menukar corak pentadbiran Melayu tradisi. Corak pentadbiran di Tanah Melayu menjadi ala British. Ini adalah akibat dari ketidakstabilan yang berlaku di negeri-negeri Melayu. Contohnya, pada tahun 1874, pihak British campur tangan dalam hal ehwal Pahang. Residen British iaitu JWW Birch yang mengawal pemerintahan Pahang telah menimbulkan penentangan orang-orang Melayu Pahang.
            Untuk menyelesaikan masalah ini, pihak British menghabiskan perbelanjaan yang tinggi. Dengan ini, pihak British terpaksa berhutang dengan negeri-negeri Selat. Menurut Jang Aisjah Muttalib (1972) Pahang berhutang kepada Negeri-negeri Selat sbanyak $ 152,157 dengan bunga sebanyak 5% setahun. Akhirnya, Huge Cliford mencadangkan supaya Pahang disatukan dengan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dan wujudlah Persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran, keseragaman dan mengawal kuasa residen, di samping mencapai matlamat yang tersirat iaitu untuk memudahkan lagi pihak British mengeksploitasi ekonomi negeri-negeri Melayu. Usaha ini juga bertujuan untuk mengatasi masalah kewangan Pahang.
            Sebenarnya, Sistem Residen mempunyai kelemahan sebab pelaksanaannya tidak tersusun kerana residen tidak diberi panduan yang jelas untuk menjalankan tugas. Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan di kalangan sultan-sultan Melayu.
Untuk menenteramkan ketidakpuasan di kalangan masyarakat Melayu, pihak British menentang dengan kekerasan. Pada tahun 1877, pihak British menubuhkan Majlis Mesyuarat Negeri di Perak. Kesannya, sistem pentadbiran di negara ini mewujudkan banyak parti-parti politik.
Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 juga dikenali Persekutuan 1896. Penubuhan Persekutuan 1896 menybabkan kuasa pentadbiran dipegang oleh residen dan cara ini telah mencabar kewibawaan sultan-sultan Melayu. Pihak British menyatakan bahawa penyatuan ini adalah untuk menyeragamkan sistem pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Ia diterajui oleh seorang pegawai pihak British yang memegang jawatan sebagai Residen-General.
            Perjanjian pembentukan Persekutuan 1896 membawa kepada penubuhan Persidangan Raja-raja Melayu. Ia masih wujud pada masa ini dan merupakan sebuah institusi penting dalam sistem pemerintahan Negara Malaysia hari ini. Menerusi persidangan ini, Raja-raja Melayu berpeluang untuk bertemu dan mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai pihak Britis mengenai hal ehwal Tanah Melayu.
            Menerusi persidangan Raja-raja Melayu, Sultan Perak menyuarakan rasa tidak puas hati baginda kerana baginda berasa sistem pentadbiran banyak berpusat di Kuala Lumpur. Baginda mencadangkan supaya kuasa itu diagih-agihkan ke peringkat negeri.
            Ekoran dari teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-raja Melayu, pihak British membuat beberapa perubahan. Pihak British mula mengagihkan kuasa pusat kepada negeri-negeri dengan tujuan untuk menarik minat negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Trengganu dan Johor supaya bergabung dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan duduk di bawah satu pentadbiran.
            Pada tahun 1909, pihak British menubuhkan Majlis Mesyuarat Persekutuan. Majlis ini depengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang juga Gabenor Negeri-negeri Selat. Melalui penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri, kedudukan pihak British diperkukuhkan lagi. Ini mencerminkan bahawa raja-raja Melayu mula kehilangan kuasa ke atas negerinya sendiri. Raja-raja Melayu hanya menjadi ahli-ahli biasa dan mereka tidak memiliki kuasa untuk membuat sesuatu persetujuan. Keputusan mesyuarat boleh diluluskan tanpa kehadiran Raja-raja Melayu.
            Keadaan ini menyebabkan Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu tidak mahu menerima usul kerajaan British supaya masuk ke dalam Persekutuan. Corak pentadbiran Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu berterusan sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1925, setelah ekonomi merosot akibat kemerosotan ekonomi sedunia, pihak British mnegemukakan cadangan dasar desentralisasi sebagai langkah untuk mengagihkan kuasa pusat, iaitu langkah berjimat-cermat. Motif ekonomi masih menjadi dasar kepada tindakan pihak British.
Dasar ini juga merupakan strategi untuk menarik minat Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu dalam usaha membentuk Persatuan Tanah Melayu. Pihak British berusaha gigih untuk mempengaruhi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu untuk bergabung dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, tetapi usaha pihak British gagal.
            Cara pentadbiran British di Tanah Melayu yang tidak mempertimbangkan kepentingan  masyarakat Melayu tetapi hanya mementingkan pihak British telah mengakibatkan masyarakat Melayu enggan bekerjasama dengan pihak British.

Kesan Ekonomi
            Pada akhir abad ke-19, kawalan politik yang diamalkan oleh pihak British memberi kesan mendalam dan mengubah corak, sistem, bentuk dan aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.
Sebelum campurtangan pihak British, masyarakat Melayu mengamalkan sistem ekonomi sara diri. Sistem ekonomi sara diri dilakukan oleh masyarakat Melayu di mana mereka bercucuk tanam, membela binatang ternakan dan menangkap ikan untuk keperluan seharian sendiri.
Pengeluaran dilakukan dalam skala yang kecil, menggunakan cara kuno, modal kecil dan jumlah buruh yang terhad. Bagi pengeluaran yang berlebihan, ia akan diguna oleh kumpulan masyarakat degan tujuan pertukaran barangan, kenduri-kendara, pembayaran zakat, sedekah atau hadiah.

            Setelah British masuk campurtangan di Tanah Melayu, pihak British mengamalkan sistem ekonomi komersial. Sistem ekonomi komersial merujuk kepada lebihan hasil secara besar-besaran. Ini adalah kerana pihak British memerlukan banyak hasil ekonomi ini untuk dieksport ke negara barat.
            Sebelum abad ke-19, lombong bijih timah dimiliki oleh golongan pembesar Melayu dan dikerjakan oleh buruh tempatan. Antara pembesar-pembesar yang memiliki lombong bijih timah ialah Long Jaafar, Ngah Ibrahim, Raja Jumaat, Datuk Kelana Putera, Datuk Bandar dan Datuk Muda Linggi.
            Pihak British telah menghapuskan sistem kerah dan serah oleh para pembesar. Sistem hamba abdi juga dihapuskan dan rakyat boleh memiliki tanah bagi mengusahakan kegiatan pertanian tanpa menyerahkan sebahagian hasil mereka kepada sultan atau pembesar.
            Dalam sistem komersial pula, pihak British telah menghapuskan amalan pungutan cukai yang dilakukan oleh sultan dan pembesar. Contohnya, JWW Birch telah menyusun semula sistem pungutan cukai di mana sultan dan pembesar tidak berhak memungut cukai dan segala sistem pungutan cukai perlu dipusatkan di bawah kelolaannya.
            Sistem komersial yang diperkenalkan oleh pihak British melibatkan penggunaan teknologi. Contohnya, kapal korek dan pam kelikir telah digunakan semasa melombong. Ini berlainan dengan masa dulu pelombong hanya menggunakan teknik lama iaitu mendulang. Ini telah menyebabkan hasil bijih timah yang dilombong berlipat ganda.
            Sebenarnya, sebelum kedatangan pihak British, perusahaan bijih timah adalah dikawal oleh pembesar Melayu tempatan. Penguasaan para pembesar Melayu terhadap sektor perlombongan boleh dilihat melalui beberapa perkara.
            Antaranya, pengusaha dari China mesti mendapat kebenaran dari para pembesar Melayu untuk mengusahakan perlombongan. Para pembesar Melayu pula akan memastikan hasil bijih timah yang dilombong, dijual semula kepada mereka. Harga bijih timah akan ditentukan oleh para pembesar.
            Selepas kedatangan pihak British, pemodal dari Eropah berupaya bersaing dengan pemodal dari China kerana kemampuan mereka menyediakan modal bagi penggunaan teknologi moden. Pihak British mengupah buruh dari China untuk melombong bijih timah.
            Pada abad ke-19, kemasukan imigran Cina juga telah menyebabkan Tanah Melayu menjadi pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia sehinggakan permintaan datang bertali arus dan banyak lagi kawasan lombong bijih timah perlu dibuka. Dengan ini, sektor ekonomi menjadi lebih komersial, ekonomi Tanah Melayu menjadi lebih ke hadapan dan maju.
Pihak British mengimport banyak buruh dari China  untuk menampung keperluan tenaga buruh ekoran dari perkembangan ekonomi yang pesat. Peningkatan penduduk telah membawa pertumbuhan sektor bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum bandar dan luar bandar bertambah besar.
            Kesannya, Tanah Melayu membangun dengan pelbagai infrastruktur yang menghubung bandar dengan pelabuhan dan perladangan. Pada masa itu juga, harga kopi mengalami kemerosotan. Ini menyebabkan banyak ladang kopi ditukar ke ladang getah.
Maka ramai kaum India berhijrah masuk ke Tanah Melayu secara besar-besaran. Kaum India ini banyak mengusahakan ladang getah. Pengeluaran getah adalah amat diperlukan di negara barat pada masa itu sebab perindustrian kereta yang banyak memerlukan tayar mula berkembang.
Usaha ke arah perkembangan perusahaan getah telah dijalankan oleh Henry N. Ridley apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Botanical Garden di Singapura pada tahun 1888. Ridley berusaha meyakinkan para peladang untuk menanam getah dengan mengadakan pameran dan mengagihkan benih getah secara percuma.
Ridley juga berjaya menemui cara penorehan getah yang sesuai, iaitu sistem menoreh secara ibidem atau seperti bentuk tulang ikan kering. Cara ini akan menghasilkan lebih banyak susu getah dan tidak merosakkan pokok getah.
Kegiatan ekonomi melombong dan menanam getah telah mengaut sumber-sumber yang banyak menguntungkan pihak British. Tetapi keuntungan yang diperolehi dari perusahaan getah dan bijih timah hampri-hampir tidak dinikmati langsung oleh masyarakat tempatan.
Dengan dasar perluasan sektor pertanian ini, pihak British mengasakan undang-undang pemilikan tanah. Terdapat 2 pertimbangan yang mempengaruhi dasar-dasar tanah telah dilaksanakan iaitu keadaan yang tidak menyekat atau menghalang perkembangan perusahaan Barat dan undang-undang ini boleh melindungi hak-hak orang Melayu.
Sistem Pendaftaran Tanah Torrens telah diperkenalkan di semua negeri kecuali Neger-negeri Selat. Sistem milik tanah ini berasaskan kepada ciri-ciri milik kekal, dipusakai, dipindah milik tanpa menyekat penjualan tanah. Dasar Tanah Inggeris ini memastikan kepentingan pihak British di samping memperluaskan sektor perladangan dan perlombongan.
Dasar Tanah Inggeris ini mengakibatkan orang-orang Melayu kehilangan tanah mereka terutamanya semasa harga getah melambung. Banyak tanah diusahakan untuk menanam pokok getah. Bagi mengelakkan spekulasi tanah, kerajaan British telah memperkenalkan Pindaan Pajakan Tanah pada tahun 1911.
Dua tahun kemudian, Enakmen Tanah Simpan telah memperuntukkan kuasa kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu bagi menentukan kawasan simpanan untuk digunakan oleh orang-orang Melayu khusus menanam padi. Dengan ini, orang-orang Melayu juga tidak dapat menjualkan kebun-kebun kecil untuk dijadikan ladang-ladang getah.
Pada tahun 1915, peraturan dikuatkuasakan bagi menentukan kawasan penempatan orang-orang Melayu yang tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu. Peraturan ini juga menimbulkan beberapa batasan di dalam usaha-usaha untuk memajukan tanah-tanah tersebut dan orang-orang Melayu masih kekal di luar bandar untuk mengusahakan ekonomi sara diri. Kesan dari sistem ini menyebabkan ekonomi orang Melayu mundur.
Dalam pegangan Islam, penganut Islam mengharamkan riba, bunga atau faedah semasa menjalankan aktiviti perdagangan. Pihak British pula mementingkan aktiviti sebegini semasa penjajahan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda. Aktiviti ini masih kekal digunakan sampai masa sekarang.
Sebelum kedatangan pihak British, masyarakat Melayu sudah lama menjalankan sistem ekonomi yang teratur dan mula menggunakan sistem mata wang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Selain daripada mata wang yang digunakan di Melaka, terdapat juga mata wang primitif yang lain digunakan di Kelantan, Trengganu dan Pahang.
            Setelah kedatangan British, para pedagang Eropah telah memperkenalkan penggunaan mata wang asing. Pada tahun 1897, pihak British telah menubuhkan sebuah pesuruhjaya yang dikenali sebagai Lembaga Pesuruhjaya wang untuk mengeluarkan wang kertas bagi Neger-negeri Selat di bawah Ordinan XIII. Penggunaan mata wang kertas ini telah menyebabkan penggunaan mata wang kerajaan Melayu semakin terhapus.
            Kepesatan perkembangan ekonomi juga mendesak penubuhan institusi kewangan atau bank. Institut kewangan ini menyediakan kemudahan pinjaman kepada para pelabur. Bank dapat bertindak sebagai ejen pembayar kepada pengeksport dan pengimport yang kemudiannya menjadikan urusan perniagaan antarabangsa bertambah licin.
            Bank yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu ialah Mercantile Bank. Seterusnya banyak lagi bank-bank yang dibuka untuk menguruskan hal kewangan dalam perniagaan.
            Perkembangan ekonomi dalam perdagangan antarabangsa juga dipertingkatkan hasil perkhimatan insurans. Pada peringkat awal, syarikat insurans yang ada di Tanah Melayu merupakan cawangan atau wakil syarikat asing yang beribu pejabat di luar negara. Sehingga akhir abad ke-19, barulah ditubuhkan beberapa syarikat insurans tempatan.



Kesan Sosial
            Kedatangan British juga telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dari segi sosial masyarakat negara ini. Perkembangan ekonomi yang pesat telah menyebabkan berlakunya proses pembandaran terutama di kawasan yang kaya dengan sumber semula jadi dan kawasan yang menjadi pusat kegiatan ekonomi penjajah.
            Banyak pekan-pekan kecil muncul menjadi bandar sebab pertumbuhan penduduk. Antara bandar yang wujud ekoran kegiatan ekonomi ialah Kuala Lumpur, Taiping, Seremban dan Miri. Bandar-bandar ini banyak dihuni oleh masyarakat dari China. Masyarakat Melayu masih menetap di kawasan perkampungan. Masyarakat India pula tinggal di kawasan ladang.
            Perkembangan sistem pengangkutan juga mempengaruhi bandar-bandar baru. Contohnya Kuala Lumpur mempunyai kedudukan yang strategik, maka banyak jalan raya yang dibina melaluinya.
            Dalam sistem pendidikan pula, sebelum kedatangan pihak British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan di Malaysia berbentuk tidak formal. Pendidikan yang wujud ialah pengajian Al-Quran dan keagamaan. Selepas kedatangan pihak British, sistem pendidikan di Tanah Melayu telah berlaku banyak perubahan. Ia lebih bersifat perkauman atau vernakular kerana pihak British tidak menyeragamkan sukatan pendidikan.
            Terdapat 4 jenis sekolah di Tanah Melayu iaitu sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris. Terdapat 2 jenis sekolah Melayu selepas kedatangan pihak British iaitu sekolah agama seperti mana yang sedia wujud dan sekolah sekular. Sekolah sekular Melayu diperkenalkan oleh pihak British melalui mubaligh Kristian. Sekolah ini kurang mendapat sambutan daripada orang Melayu kerana mereka takut terpengaruh dengan agama Kristian.
            Pihak British tidak berhasrat untuk memajukan pendidikan di kalangan orang Melayu. Oleh itu, tiada sekolah Melayu Menengah yang disediakan. Lulusan sekolah Melayu hanya berpeluang melanjutkan pelajaran ke Maktab.
Antara maktab yang ditubuhkan ialah Maktab Perguruan Melaka, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.
            Bagi sekolah Cina pula, ia dikendali oleh masyarakat Cina di kawasan bandar. Pada peringkat awal, sekolah Cina menggunakan pelbagai loghat Cina sebagai bahasa pengantar. Buku-buku teks dan sukatan pelajaran yang digunakan di sekolah Cina diambil dari negara China. Guru-guru yang mengajar juga dari negara China.
            Mulai tahun 1920, pihak British memperkenalkan Enakmen Pendaftaran Sekolah untuk mengawal sekolah-sekolah Cina. Menurut enakmen itu, semua sekolah yang didirikan mesti didaftar. Pengarh pelajar diberi kuasa untuk menutup sekolah yang tidak menurut syarat pengurusan, sukatan pelajaran dan peraturan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak British.
            Sekolah Tamil pula dikendalikan oleh pertubuhan masyarakat India atau orang perseorangan. Kebanyakan sekolah Tamil didirikan di kawasan ladang. Seperti sekolah Cina, buku-buku teks  sukatan pelajaran dan guru-guru di sekolah Tamil semua dibawa dari India.
            Pada tahun 1912, apabila pihak British memperkenalkan Undang-undang Buruh, semua pengusaha ladang getah diwajibkan membina sekolah. Dengan ini, jumlah sekolah Tamil meningkat. Tetapi masyarakat India lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris sebab sekolah Inggeris mempunyai kelengkapan yang lebih sempurna.
            Sekolah Inggeris pula didirikan di Negeri-negeri Selat seperti Penang Free School dan Malacca Free School. Sekolah Inggeris banyak didirikan oleh mubaligh Kristian. Sekolah Inggeris terbuka kepada semua kaum. Sukatannya berasaskan sistem pendidikan di England. Lulusan sekolah British boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, perubatan, dan sebagainya.
            Pada tahun 1905, Kolej Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan untuk memberi pendidikan Inggeris sehingga ke peringkat menengah kepada anak-anak raja dan golongan bangsawan Melayu.
Pihak British tidak berhasrat memberi pendidikan Inggeris yang tinggi kepada masyarakat Melayu. Oleh itu, penuntut di sekolah Inggeris kebanyakannya terdiri dari kaum Cina.
            Melalui pendidikan,  menjalarlah idea-idea dan pandangan-pandangan hidup barat ke dalam jiwa pemikiran rakyat. Tanpa disedari, terjadilah revolusi kebudayaan. Corak pergaulan bebas di antara masyarakat ataupun jantina diterap ke negara ini. Sedangkan masyarakat negara ini sebelumnya adalah tidak membernarkan perkara sebegini berlaku.
            Dengan teknologi moden yang dibawa masa penjajahan British, masyarakat negara ini menjadi begitu mudah terseret untuk menonton pertunjukkan fesyen di Paris dan peraduan kecantikan di New York melalui televisyen.
            Sehingga tahun 1950an, barulah wujudnya kesedaran bahawa sekolah bersistem vernakular ini amat berbahaya sebab ia akan menjadi penghalang kepada perpaduan. Ini adalah disebabkan tidak ada satu bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan mereka. Lantaran itu, beberapa laporan pelajaran telah dikeluarkan bagi merapatkan jurang perpaduan di kalangan kaum dan membentuk semangat perpaduan di kalangan penduduk Melayu. Dengan ini, lahirlah Penyata Barnes, Laporan Fenn-Wu, Ordinan Pelajaran 1952 dan laporan Razak 1956. Akhirnya, Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam Penyata Razak telah dilaksanakan pada tahun 1961.
            Selain itu, penjajahan  pihak British juga mengakibatkan pembentukan masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk ini adalah disebabkan kemasukan imigran dan lahirlah sebuah masyarakat yang mempunyai organisasi sosial dan budaya yang berbeza.
            Dasar pihak British iaitu dasar Pecah dan Perintah bermaksud pengasingan masyarkat di Tanah Melayu. Ini dapat dilihat daripada orang Melayu yang hidup di kawasan luar bandar seperti kampung dan desa. Masyarakat Cina tertumpu di kawasan bandar dan menjalankan kegiatan perdagangan dan perlombongan. Orang India pula tinggal di kawasan-kawasan estet dan ladang getah.

            Kerajaan British telah banyak menubuhkan pusat kesihatan. Menjalang tahun 1895, terdapat lebih kurang 29 buah pusat perubatan di Perak dan Kuala Lumpur. Selain membina hospital dan pusat perubatan, usaha untuk mengawal wabak penyakit juga dilakukan melalui penyelidikan.
            Kebersihan dan kesihatan awam terutamanya di bandar-bandar turut dititikberatkan.  Pada tahun 1980an, lembaga Sanitary Board ditubuhkan dengan tujuan mengawas kebersihan dan kesihatan bandar di Kuala Lumpur.
            Setelah sekian lama pihak British menjajah di Tanah Melayu, pihak Melayu telah mula menimbulkan ketidakpuasan terhadap sistem pentadbiran di Tanah Melayu. Oleh itu berlakulah penentangan yang telah dilakukan oleh masyarakat Melayu yang melibatkan perbuatan dan pemikiran masyarakat Melayu setempat.
            Kes pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak , Perak telah menghasilkan muafakat daripada beberapa pihak. Tindakan melampaui batas Birch yang berlawanan dengan sistem pemerintahan tradisional dan melanggar adat-istiadat orang Melayu. Ini menimbulkan kemarahan di kalangan pembesar-pembesar Melayu.
            Sultan Abdullah mengarahkan Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch dan candangan baginda disokong oleh Raja Ismail. Dato’ Maharaja Lela yang bertanggungjawab untuk membunuh Birch telah mengambil nekad untuk membunuh Birch walaupun pembunuhan tersebut dilakukan oleh pembunuh upahan. Peristiwa ini menujukkan betapa marah dan kecewa masyarakat Melayu sehingga sanggup melakukan pembunuhan.
            Pembunuhan Birch telah mula membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu. Penentang-penentang pihak British ialah Mat Kilau dan  Dato’ Bhaman , Tok Janggut dan Hj Abdul Rahman.
            Penentangan kedua ialah dengan menjalankan kempen menggesa orang ramai supaya tidak membayar cukai dan mematuhi peraturan baru yang diperkenalkan oleh pihak British. Ini adalah disebabkan sistem cukai yang diperkenalkan oleh pihak British amat membebankan rakyat tempatan.
            Sistem cukai baru yang diperkenalkan oleh pihak British merupakan suatu yang asing kepada penduduk termpatan kerana mereka diwajibkan membayar cukai tanah tanpa mengambil kira sama ada tanah itu diusahakan  atau tidak.  Mereka yang tidak membayar cukai akan ditangkap atau didenda. Keadaan inilah mendorong Tok Janggut dan para pengikutnya menjalankan kempen dan usaha ini mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
            Di Trengganu pula, terdapat juga penentangan berlaku. Penentangan ini berlaku kerana berbagai-bagai peraturan baru yang bercanggah dengan amalan tradisi yang diperkenalkan oleh pihak British. Ini termaksuklah penguatkuasaan beberapa jenis cukai seperti cukai hasil, cukai tanah dan cukai binatang ternakan.
            Pada tahun 1922, Hj Abdul Rahman Limbong mengetuai Mat Zin bin Mat Min, Hj Kia dan Lebai Deraman menentang pengenalan berbagai-bagai cukai baru ini. Mereka bertindak membuka hutan tanpa meminta kebenaran dahulu. Pihak British mengambil tindakan tegas dan 43 orang telah ditangkap. Tetapi akhirnya pihak Melayu yang telah memenagi kes ini sebab pihak British gagal membuktikan mereka bersalah.
            Di Pahang pula, pembesar-pembesar Melayu juga tidak puas dengan perubahan politik yang dilakukan oleh pihak British. Undang-undang yang melarang pembesar-pembesar mengutip cukai, mengawal hamba abdi dan membataskan kerja-kerja kerahan telah mengugat kekuasaan tradisi para pembesar.
Dato’ Bahaman memulakan tentangan dengan melakukan serangan ke atas Lubuk Terua dan berjaya menawan Temerloh. Penentangan semakin hebat apabila mendapat sokongan daripada seorang tokoh agama yang menyifatkan perjuangan tersebut sebagai perang jihad.
Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah menyerang Kuala Tembeling setelah berjaya menawan kubu Jeram Ampai pada tahun 1984. Penentangan di Pahang ini mengambil masa yang panjang dan berlarutan selama 4 tahun.

Di Sarawak pula, pahlawan yang terkenal ialah Rentap. Kebangkitan Rentap didorang oleh kemaraan Brooke ke kawasan orang Iban dan Brooke menganggap orang Iban di Sungai Skrang ialah lanun. Sebagai persediaan awal, Rentap membina kubu pertahanan di Sungai Skrang, Kanowit, Lingga , Serikei dan Bintulu.
Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu Brooke ke Kuala Skrang dan berjaya membunuh seorang pegawai pasukan Brooke bernama Alan Lee. Pada tahun 1863, Brooke mengetuai angkatan tenteranya menyerang Rentap di bukit Sadok. Akhirnya, Rentap dapat ditewaskan setelah pertempuran telah berlaku selama sebulan. Kubu dan rumah Rentap dibakar oleh Brooke. Rentap berundur ke Entabai. Beliau meninggal dunia sebelum berjaya meneruskan perjuangan selanjutnya.
Selain daripada Rentap, Syarif Masahor dan Datu Patinggi Ali Abdul Gapur juga bangkit menentang Brooke sebab Brooke meluaskan kawasan pentadbirannya dengan mengambil alih beberapa daerah di bawah kuasa kesultanan Brunei. Sebagai penentangan, beliau telah membuat pakatan sulit dengan Datu Patinggi Abdul Gapur untuk menyerang kubu Brooke dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Brooke dengan adanya bantuan dari Belanda telah menahan Datu Patinggi Abdul Gapur dan beliau dipenjarakan di Betawi.
Syarif Masahor pula bertempur dengan Brooke di sungai Sadong. Akibatnya, kapal dan perahu pasukan Syarif Masahor tenggelam dan seramai 64 orang pengikutnya terkorban. Syarif Masahor melarikan diri ke Mukah. Pada tahun 1861, Brooke memaksa sultan Brunei menyerahkan Mukah kepadanya dan Syarif Masahor dibuang negeri ke Singapura.
Di Sabah pula, pahlawan yang terkenal ialah Mat Salleh. Penentangan bermula apabila Syarikat Borneo Utara British telah campur tangan dan memasuki wilayah di bawah kekuasaan beliau. Antara tindakan pihak British yang membangkitkan kemarahan Mat Salleh ialah menyerang dan membakar kampung beliau.
Pada tahun 1984, para pengikut Mat Salleh membunuh 2 orang peniaga kaum Dayak dan beliau enggan menyerahkan 4 orang pengikutnya yang terlibat dan memberi perlindungan kepada mereka.
Mat Salleh dan pengikutnya juga membuat serangan ke atas Pualu Gaya dan memusnahkan bangunan kerajaan sebagai menunjukkan penentangan mereka terhadap penguasan pihak British.
Pada tahun 1897, Mat Salleh menyerang Ambong. Pengarah urusan Syarikat Borneo Utara British pada masa itu tidak berupaya mengalahkan Mat Salleh. Beliau membuat perjanjian untuk berdamai. Tetapi pada tahun 1899, Syarikat Borneo Utara British memungkir janji.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan Mat Salleh. Beliau meneruskan perjuangan secara besar-besaran tetapi malangnya gagal mendapat kejayaan. Mat Salleh ditewaskan dan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Semangat nasionalisme terus membarak di hati masyarakat negara ini. Semangat kebangsaan di Tanah Melayu dibangkitkan oleh golongan intelektual melalui penerbitan akhbar.
Sebagai usaha untuk melahirkan perpaduan kaum, beberapa buah parti telah ditubuhkan. Antaranya ialah Independence Of Malaya Party dan Parti Negara. Kemudian parti-parti lain yang berasaskan kaum seperti UMNO, Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan India Congress (MIC) telah bekerjasam menubuhkan Parti Perikatan. Dengan adanya usaha dari parti-parti tersebut untuk mewujudkan perpaduan kaum , maka lahirlah idea yang ingin merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu.

Kesimpulan
            Penjajahan British di Tanah Melayu telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam dari segi politik, ekonomi dan sosial di negara ini. Pada zaman penjajahan British, kesetiaan kepada penjajahan dianggap penting untuk mengekalkan penguasan politik dan ekonomi. Ini telah menginsafkan rakyat Tanah Melayu bahawa betapa pentingnya negara ini harus menjaga maruah diri kita dan memerlukan kemerdekaan.

Pada tahun 1955, Parti Perikatan telah memenangi pilihan raya. Maka rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dihantar ke London untuk merundingkan kemerdekaan. Rombongan tersebut berjaya menghasilkan pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
            Pengisytiharan tersebut menandakan kebebasan politik yang mutlak bagi Persekutuan Tanah Melayu. Kita sebagai warganegara mesti menghargai hasil titik peluh ini dan bertanggungjawab menjaga kedaulatn serta kemerdekaan negara yang bertuah ini.















Bibliografi
Arjuna @ Mohd. Noor Yunus (1993). Nota Langkah Sejarah Kertas 2 STPM. Kuala
Lumpur: Penerbit Elman Sdn. Bhd.
Asnarulkhadi Abu Samah, Jayum A. (1997). Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Malaysia Kita (2000). Kuala Lumpur, International Law Book Services
Mohd. Isa Othman (2001). Pengalaman Kedah dan Perlis Zaman Penjajahan British.
Kuala Lumpur: utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Yusoff Hashim Aruna Gopinath (1992). Tradisi Persejarahan pahan Darul
Makmur 1800-1930. Kuala Lumpur: Tempo Publishing (M) Sdn. Bhd.
Mustapha K.S. (2002). Pasport Kecemerlangan STPM Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur:
Federal Pbulication Sdn. Bhd.
Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman,Muhd Yusof Bin Ibrahim, Muhammad
Bukhari Bin Ahmad, Rosnanaini Binti Sulaiman. Sejarah Tingkatan 4 Buku Teks.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Rupert Emerson(1982). Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Yew Chee Wai, Mary Tan Swee Ee, Ros Maria Chin(2006). Ulangkaji Total Terkini
Sejarah . PJ: Sasbadi Sdn. Bhd.
Rujukan Internet

没有评论:

发表评论